
KUALA LUMPUR, 31 Mac – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak bertanggungjawab terhadap kerugian USD1.3 bilion yang dialami SRC International Sdn Bhd, selepas didapati melanggar tanggungjawab fidusiari, menyalahgunakan kedudukan serta menyeleweng dana syarikat untuk kepentingan peribadi.
- Mahkamah membenarkan saman sivil SRC dan mengarahkan Najib membayar balik kerugian yang dituntut.
- Hakim mendapati Najib menyalahgunakan jawatan, melanggar tanggungjawab fidusiari dan mengatur penyaluran dana melalui struktur palsu.
- Najib akan memfailkan rayuan dan memohon penangguhan pembayaran; mahkamah meluluskan penangguhan sementara 14 hari.
Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin membuat keputusan itu selepas membenarkan saman sivil difailkan SRC International berjumlah USD1.18 bilion dan mengarahkan Najib membayar jumlah berkenaan, selain USD120 juta yang diterimanya daripada syarikat terbabit ke dalam akaun AmPrivate Banking dengan nombor berakhir 964, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan USD1.3 bilion.
Bagaimanapun, mahkamah akan menentukan kos pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Dalam penghakimannya, Ahmad Fairuz yang kini merupakan hakim Mahkamah Rayuan berkata mahkamah mendapati Najib telah menyalahgunakan jawatannya, sekali gus membolehkan SRC memperoleh pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWAP) di bawah jaminan kerajaan.
“Penyalahgunaan kuasa membolehkan penyaluran terus RM3.6 bilion ke luar negara tanpa pengawasan sewajarnya, menimbulkan kerisauan mengenai pengurusan kewangan. Perbuatan itu mengakibatkan penyelewengan USD1.1 biilion melalui struktur pelaburan palsu.
“Akibatnya, SRC gagal membayar balik pinjaman awam, sekali gus memerlukan kerajaan menyediakan suntikan kewangan RM600 juta bagi menampung kerugian,” kata hakim itu, sambil menambah bahawa Najib tidak mengambil sebarang langkah untuk menjamin dana berkenaan dan tidak pernah memerintahkan sebarang siasatan terhadap transaksi tersebut.
Ahmad Fairuz berkata mahkamah turut mendapati sekiranya Najib tidak menyalagunakan jawatannya, SRC tidak akan memperoleh pinjaman RM4 bilion atas alasan tidak sah, menyalurkan RM3.6 bilion ke luar negara melalui struktur palsu, atau mengalami kerugian USD1.2 bilion akibat penyelewengan dana.
“Penyalahgunaan kuasa Najib merupakan punca langsung dan berkesan terhadap kerugian dialami SRC. Pengaturannya terhadap skim tersebut daripada peringkat permulaan hingga penyaluran dana membentuk rangkaian sebab-akibat yang jelas dan lengkap, menjadikan beliau sepenuhnya bertanggungjawab atas kerugian dialami SRC,” menurut hakim itu.
Beliau berkata SRC berjaya membuktikan, berdasarkan imbangan kebarangkalian bahawa sebahagian dana syarikat iaitu USD120 juta dipindahkan daripada SRC ke SRC BVI, kemudian ke Blackstone, dan akhirnya ke akaun Najib.
“Setiap pautan dalam rangkaian itu disokong dokumen lengkap yang menunjukkan butiran transaksi kritikal. Daripada penjelasannya, mahkamah dapat menjejak dengan jelas bila USD120 juta dipindahkan, melalui entiti mana, dan di mana ia berakhir,” katanya.
Sementara itu, tuntutan Najib terhadap defendan pihak ketiga ditolak berserta kos, selepas mahkamah mendapati bahawa sebagai pihak mengawal syarikat, beliau tidak boleh memindahkan tanggungjawab kepada individu diarahkan, semata-mata kerana mereka melaksanakan dokumen yang merealisasikan keputusannya.
“Undang-undang mengenai sumbangan pihak ketiga dan indemniti tidak berfungsi sebagai mekanisme bagi pihak melakukan kesalahan utama untuk melepaskan dirinya daripada tanggungjawab yang telah ditetapkan dengan memindahkan kesalahan secara sewenang-wenangnya melalui penglibatan pihak ketiga,” menurut hakim itu.
Sejurus selepas penghakiman disampaikan, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas perdana menteri itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini serta memohon penangguhan pembayaran dalam tempoh 14 hari.
Mahkamah kemudiannya membenarkan perintah penangguhan sementara itu. Peguam Datuk Lim Chee Wee mewakili SRC, dan Najib hadir pada prosiding hari ini.
SRC memulakan saman pada Mei 2021, mendakwa Najib telah melanggar tanggungjawab fidusiari, menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana syarikat untuk kepentingan peribadi.
SRC menamakan Najib serta enam bekas bekas pengarahnya Datuk Suboh Md Yassin, Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Che Abdullah@Eashidi Che Omar, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Tan Sri Ismee Ismail dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil sebagai defendan.
Bagaimanapun, kemudian, SRC mengeluarkan enam nama daripada saman tersebut dan mengekalkan Najib serta Nik Faisal sebagai defendan pertama dan kedua. Pada 2021, satu penghakiman ingkar telah dibuat terhadap Nik Faisal, menjadikan Najib sebagai satu-satunya defendan. Najib kemudiannya menamakan bekas pengarah SRC sebagai responden pihak ketiga.
SRC menuntut ganti rugi, faedah, kos dan deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab terhadap kerugian syarikat akibat pelanggaran tugas dan amanahnya, dan menuntut Najib membayar balik kerugian USD1.18 bilion yang dialaminya.
Ia juga menuntut USD120 juta dan USD2 juta masing-masing daripada Najib dan Nik Faisal, atas pelanggaran tugas dan pecah amanah. – BERNAMA