Lima saksi rakam keterangan kes kebakaran maut

Foto Facebook Polis Johor

KULAI, 11 Februari – Polis merakam keterangan lima saksi berhubung kebakaran yang mengorbankan seorang lelaki dan seorang wanita hamil di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Damai Jaya, Skudai, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis merakam keterangan lima saksi termasuk suami mangsa, pemilik rumah dan jiran untuk membantu siasatan.
  • Bedah siasat menunjukkan kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat kecederaan terbakar kira-kira 45 peratus badan.
  • Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut dan tiada unsur jenayah dikenalpasti setakat ini.
  • JBPM menyiasat punca kebakaran manakala polis menumpukan siasatan berkaitan kematian mangsa.

Ketua Polis Johor, Datuk AB Rahaman Arsad berkata, keterangan saksi terlibat merupakan suami kepada wanita yang maut, pemilik rumah dan jiran berhampiran diambil bagi membantu siasatan yang diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut.

Hasil bedah siasat mendapati, kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat kecederaan terbakar 45 peratus pada tubuh badan.

“Kita tidak mengklasifikasikan kes ini sebagai mempunyai unsur jenayah buat masa ini kerana siasatan awal masih dijalankan. Kita juga masih menunggu laporan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang telah menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran tersebut.

“Siasatan berkaitan kebakaran dikendalikan JBPM manakala pihak polis hanya menjalankan siasatan berhubung kematian dua mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam Sidang Media Kejayaan Rampasan Minuman Keras Tidak Bercukai Kastam (Kontraband) di Balai Polis Senai, di sini.

Dalam kejadian pada Selasa, seorang wanita berusia 21 tahun dan seorang lelaki berusia 22 tahun maut di lokasi kejadian. Polis mengesahkan lelaki tersebut merupakan rakan sekerja kepada suami wanita berkenaan.