Lima lelaki ditahan terbabit dadah di Bintulu

FOTO IPD BINTULU

INTULU, 22 Februari – Lima lelaki warga tempatan berusia antara 18 hingga 37 tahun ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar daerah ini pada Jumaat kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penagihan dan memiliki dadah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga ditahan disiasat bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.
  • Dua lagi disiasat bawah Seksyen 15(1)(a) kerana disyaki memasukkan dadah ke dalam badan.
  • Empat daripada lima ujian air kencing positif methamphetamine dan amphetamine.
  • Tangkapan sebahagian usaha berterusan PDRM membanteras penyalahgunaan dadah di Bintulu.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Penguasa Polis Supt. Nixon Joshua Ali, dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua suspek diberkas hasil risikan dan maklumat awam yang disalurkan kepada pihak polis.

“Tiga daripada suspek disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah, manakala dua lagi disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana disyaki memasukkan dadah ke dalam badan,” katanya.

Tambah beliau, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati empat daripada lima suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, manakala seorang lagi negatif.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 12(2) akta berkenaan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) pula, individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun serta perintah pengawasan tidak kurang daripada dua tahun.

Supt. Nixon berkata, tangkapan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak Polis Diraja Malaysia dalam membanteras penyalahgunaan dadah dan seterusnya mengekang kegiatan jenayah di daerah ini.