
KUALA LUMPUR, 9 Mac – Lima pekerja sebuah syarikat pembekal minyak masak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki barang kawalan berjadual iaitu 10,502 kilogram (kg) minyak masak tanpa lesen sah, Jumaat lepas.
- Didakwa mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 atas pemilikan dan urusan minyak masak tanpa lesen.
- Jika sabit, hukuman termasuk denda sehingga RM1 juta atau penjara hingga tiga tahun; kesalahan berulang membawa hukuman lebih berat.
- Pendakwaan menegaskan kes melibatkan kepentingan awam kerana ketirisan minyak masak bersubsidi.
- Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh, mensyaratkan penyerahan pasport dan sebutan semula pada 13 April.
Warga tempatan, Muhammad Akmal Daud, 31; warga Indonesia Alif Kurniawan, 24; dan tiga warga Bangladesh Mohimelun Shekh, 28; Moniruzzaman, 29; dan Md Mamun Hossen, 23, didakwa memiliki minyak masak seberat 10,502 kg dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu berurusan dengan barang berjadual berkenaan secara runcit atau borong tanpa lesen.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Taman Perindustrian Bukit OUG, dekat sini, pada 12.30 tengah malam, 6 Mac lepas mengikut Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) K. Selvarajoo menawarkan jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin bagi Muhammad Akmal manakala tiada jaminan ditawarkan bagi empat tertuduh warga asing.
“Bagaimanapun, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicaranya untuk membenarkan jaminan bagi empat warga asing ini, pendakwaan menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin.
“Kuantiti minyak masak yang terlibat adalah tinggi iaitu sebanyak 10,502 kilogram dengan nilai RM29,335.60. Kes ini juga melibatkan kepentingan awam iaitu ketirisan minyak masak bersubsidi yang sepatutnya disalurkan kepada pengguna,” katanya.
Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan mereka mempunyai pendapatan rendah dan hanya bekerja di syarikat tersebut dengan gaji minimum.
“Saya mohon mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua tertuduh,” katanya.
Hakim Siti Shakirah Mohtaruddin kemudian membenarkan Muhammad Akmal diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, manakala empat tertuduh warga asing masing-masing dibenarkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan, supaya pasport kesemua tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 13 April depan untuk sebutan semula kes. – BERNAMA