Lima keluarga tinggal sehelai sepinggang rumah musnah terbakar di Kampung Air

Pasukan bomba sedang memadam bara api daripada terus merebak/Foto Bomba

SEMPORNA, 6 Mac – Lima keluarga di Kampung Air di sini hilang tempat tinggal selepas beberapa rumah dan premis perniagaan musnah dalam kebakaran petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Premis terjejas termasuk kedai runcit, kedai makan, kedai bundle dan bekas TASKI ABIM yang tidak beroperasi sejak 2017.
  • Pasukan bomba berjaya menghalang api daripada merebak ke kira-kira 50 rumah berhampiran.
  • Operasi dipimpin Komander Operasi Musliady Masiraji, 24 anggota dari balai tempatan dengan bantuan balai berdekatan.
  • Bomba menggunakan dua aliran sepanjang 600 kaki dan empat pancutan air; kebakaran dikawal pada 4.51 petang, punca masih disiasat.

Premis yang terjejas termasuk kedai runcit, kedai makan, kedai bundle serta sebuah bangunan Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI) ABIM yang tidak lagi beroperasi sejak 2017.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna, Rastam Keladi berkata pihaknya berjaya menghalang api daripada merebak ke kira-kira 50 rumah berhampiran.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada 3.49 petang dan segera menjalankan operasi pemadaman bagi mengawal kebakaran yang melibatkan rumah jenis tidak kekal serta beberapa premis perniagaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Operasi diketuai Komander Operasi PBK II Musliady Masiraji membabitkan kekuatan 24 anggota dari BBP Semporna dengan bantuan pasukan dari BBP Air Semporna dan BBP Kunak.

Pasukan bomba menggunakan dua aliran sepanjang 600 kaki dengan empat pancutan air yang diperoleh daripada jentera bomba dan pili bomba berhampiran bagi memadam kebakaran.

Rastam berkata kebakaran berjaya dikawal pada pukul 4.51 petang.

Menurutnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.