Lima individu cedera dalam nahas tiga kenderaan

Tiga kenderaan termasuk sebuah ambulans terbabit dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat berhampiran Universiti Sains Malaysia (USM), semalam/Foto orang awam

GELUGOR, 10 April – Seorang pelajar cedera di bahagian dada, tulang rusuk dan pinggang selepas kereta yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan melibatkan sebuah ambulans dan satu lagi kenderaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemalangan berlaku di Jalan Bukit Gambir kira-kira pukul 11.00 pagi semalam.
  • Ambulans membawa pemandu dan tiga pegawai perubatan terbabit; pemandu dan penumpang ambulans cedera ringan, pemandu kenderaan lain tidak cedera.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; video insiden tular di media sosial.

Insiden berlaku di Jalan Bukit Gambir, di sini, kira-kira pukul 11.00 pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, kemalangan berlaku apabila remaja berusia 19 tahun itu dipercayai melanggar ambulans yang sedang dalam perjalanan menjalankan tugas kecemasan di simpang lampu isyarat berhampiran Universiti Sains Malaysia (USM).

Menurut beliau, impak pelanggaran itu menyebabkan ambulans terbabas sebelum melanggar sebuah lagi kereta yang sedang berhenti di lampu isyarat.

Tambahnya, ambulans tersebut dinaiki seorang pemandu bersama tiga penumpang terdiri daripada pegawai perubatan.

Pemandu serta penumpang ambulans dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu sebuah lagi kenderaan tidak cedera.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan insiden kemalangan tersebut.