Lelaki rugi lebih RM230,000 akibat pelaburan saham tidak wujud

Foto fail

KUCHING, 22 Februari -Seorang lelaki kerugian RM233,950 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan saham dalam talian tidak wujud, Oktober tahun lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa tertarik skim pelaburan menerusi laman sesawang dan promosi dalam kumpulan WhatsApp.
  • Pelaburan kecil awal beri pulangan palsu, mendorong mangsa labur jumlah lebih besar.
  • Mangsa buat 27 transaksi kepada 21 akaun sebelum menyedari penipuan.
  • Orang ramai dinasihatkan semak di Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti dan hubungi 997 jika ditipu.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mangsa berusia awal 30-an membuat laporan semalam, mendakwa tertarik dengan skim pelaburan itu selepas melayari satu laman sesawang.

“Mangsa diminta membuka akaun bagi tujuan urusan pelaburan saham secara dalam talian dan tertarik dengan tawaran keuntungan dipaparkan dalam kumpulan WhatsApp apabila ahli kumpulan menunjukkan keuntungan,”katanya dalam kenyataan.

Mohd Farhan berkata lelaki itu pada awalnya melabur RM100 dan menerima pulangan RM700 yang dimasukkan ke dalam akaun sebelum membuat pelaburan tambahan dalam jumlah lebih besar kerana dijanjikan keuntungan berganda.

Mangsa membuat 27 transaksi pembayaran kepada 21 akaun sebelum menyedari ditipu kerana suspek terus meminta bayaran tambahan sedangkan dirinya belum menerima keuntungan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada, tidak mudah mempercayai tawaran pelaburan dan membuat semakan di laman sesawang Bank Negara Malaysia serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia selain menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan menerusi talian 997 jika menjadi mangsa penipuan.