
SUNGAI PETANI, 10 Mac – Seorang lelaki maut manakala adik perempuannya cedera parah selepas dipercayai ditetak beberapa individu di hadapan rumah mereka di Taman Kempas, awal pagi tadi.
- Polis menahan tiga suspek berusia 17 hingga 21 tahun, termasuk seorang dewasa dan dua remaja bawah umur.
- Serangan dipercayai berlaku antara pukul 12 tengah malam hingga 2 pagi; mangsa ditetak berulang kali menggunakan senjata tajam.
- Polis merampas beberapa senjata, motif masih disiasat; kes disiasat bawah Seksyen 302 dan 326, suspek akan dibawa permohonan reman.
Polis turut menahan tiga suspek termasuk dua remaja bawah umur yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan berkata, kejadian dipercayai berlaku antara pukul 12 tengah malam hingga 2 pagi apabila mangsa didatangi beberapa suspek sebelum mereka bertindak menetak mangsa dan adiknya berulang kali menggunakan senjata tajam.
Akibat serangan itu, mangsa lelaki berusia lingkungan 20-an mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, adik mangsa yang berusia belasan tahun mengalami kecederaan serius apabila tangan kanannya hampir putus akibat ditetak.
Menurut Hanyan, susulan kejadian itu polis berjaya menahan tiga suspek berusia antara 17 hingga 21 tahun, terdiri daripada seorang lelaki dewasa, seorang remaja lelaki dan seorang remaja perempuan bawah umur.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek bukan ahli keluarga mangsa dan tinggal di kawasan yang sama,” katanya.
Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan, dan polis turut merampas beberapa senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam serangan tersebut.
Kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk bedah siasat dan rawatan lanjut.
Sementara itu, ketiga-tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Sungai Petani bagi permohonan reman.
Kes disiasat dbawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya.