Lelaki ditahan cubaan isi RON95 dalam kenderaan asing

KPDN Johor menahan seorang lelaki warga asing cuba mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak/Foto KPDN Johor

JOHOR BAHRU, 10 April – Seorang lelaki warga asing ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor selepas dipercayai cuba mengisi petrol RON95 ke dalam kenderaan berpendaftaran asing dalam satu operasi penguatkuasaan di sekitar bandar raya ini, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pegawai penguat kuasa mengesan kenderaan sedang mengisi petrol RON95 semasa pemeriksaan statik di stesen minyak.
  • Pemeriksaan melibatkan semakan rakaman CCTV, resit pembelian dan keterangan pekerja; kenderaan serta dokumen disita untuk siasatan.
  • Kes disiasat di bawah AKB 1961; individu dan syarikat berdepan denda serta hukuman, orang ramai digalakkan buat aduan rasmi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, pegawai penguat kuasa yang menjalankan pemeriksaan statik di sebuah stesen minyak mengesan kenderaan terbabit sedang mengisi petrol RON95 ke dalam tangki.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, tindakan segera diambil bagi menghentikan perbuatan tersebut sebelum siasatan lanjut dijalankan.

“Pemeriksaan lanjut melibatkan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), resit pembelian serta rakaman percakapan pekerja stesen minyak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mengesahkan transaksi berkenaan melibatkan petrol RON95.

Susulan itu, pihaknya menyita sebuah kenderaan, rakaman CCTV, salinan resit pembelian serta dokumen berkaitan, manakala lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961) dan jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“KPDN Johor akan terus memperkukuh aktiviti penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan barang kawalan, khususnya petrol RON95, bagi memastikan subsidi kerajaan dinikmati rakyat Malaysia,” katanya.

Bagi syarikat pula, denda boleh dikenakan hingga RM2 juta dan meningkat hingga RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Orang ramai turut digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang penyelewengan melalui saluran rasmi KPDN.

“Saluran rasmi KPDN termasuk WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN,” katanya.