
KUANTAN, 17 Februari – Seorang lelaki dipercayai membunuh empat ahli keluarganya sebelum bertindak mencederakan diri sehingga menyebabkan kematian dalam kejadian di Taman Cerating Damai, di sini, kira-kira pukul 7 pagi tadi.
- Seorang lelaki dipercayai membunuh empat ahli keluarganya dan kemudian mencederakan diri sehingga meninggal dunia.
- Mangsa termasuk seorang wanita 55 tahun, anak lelaki awal 30-an, menantu perempuan lewat 20-an dan dua cucu berumur tiga dan empat.
- Mayat ditemukan di dalam bilik dan di dapur; polis menemui sebilah pisau dipercayai digunakan.
- Suspek baru berpindah sebulan lalu; motif masih disiasat dan kes dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian itu, seorang wanita berusia 55 tahun, anak lelakinya berusia awal 30-an, menantu perempuan lewat 20-an serta dua cucu perempuan masing-masing berusia tiga dan empat tahun ditemukan maut dengan kesan kecederaan termasuk dikelar.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata ketika kejadian, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang juga adik kepada suspek turut berada di rumah berkenaan.
“Pagi tadi ada berlaku kejadian bunuh melibatkan lima orang iaitu seorang ibu berumur 55 tahun, anaknya berumur lebih kurang 31 atau 32 tahun, isteri kepada anaknya berumur lewat 20-an serta dua anak kecil berusia tiga dan empat tahun.
“Kita percaya yang membunuh adalah anak lelaki atau suami kepada pasangan tersebut dan kita masih menunggu laporan patologi serta siasatan lanjut. Mayat ditemukan dalam satu bilik, manakala ibu mereka ditemukan di dapur,” katanya.
Datuk Seri Yahaya berkata, remaja terbabit hanya menyedari kejadian selepas terdengar pertengkaran sebelum keluar mendapatkan bantuan.
Menurutnya, polis turut menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Siasatan awal mendapati suspek baharu berpindah ke rumah keluarganya kira-kira sebulan lalu dan memulakan pekerjaan di daerah ini sejak seminggu lepas. Motif sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.