
KUALA NERUS, 1 Februari – Tiada sebarang kompromi terhadap anggota polis sekiranya terlibat dalam sebarang bentuk salah laku atau pelanggaran undang-undang.
- Tiada kompromi terhadap anggota polis jika terbabit dalam salah laku atau pelanggaran undang-undang.
- Laporan diterima dan siasatan sedang dijalankan mengenai dakwaan lelaki dipukul polis.
- Jika dakwaan benar, tindakan tegas akan diambil dan pelaku tidak akan dilindungi.
- Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan untuk kenal pasti individu terlibat.
Penegasan itu dibuat Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin susulan dakwaan seorang individu dipukul polis dalam kejadian yang tular di media sosial, baru baru ini.
Beliau berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.
“Jika dakwaan itu benar, saya tidak akan melindungi pelaku dan tindakan tegas akan diambil.
“Walaupun rakaman yang tular tidak menunjukkan perbuatan memukul, dakwaan itu tetap disiasat secara terperinci,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Terengganu di sini, hari ini.
Menurut beliau, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab terhadap insiden itu.
Sebelum ini, tular hantaran di media sosial yang menunjukkan seorang lelaki cedera didakwa dipukul anggota polis ketika Ops Samseng Jalanan di Dungun.