
TUMPAT, 3 Februari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan berjaya merampas 940,000 batang rokok putih bernilai kira-kira RM640,000 dalam satu operasi di perairan Tumpat, awal pagi 31 Januari lalu.
- Operasi Maritim Malaysia Tumpat menemui longgokan kotak rokok putih dibungkus plastik lutsinar di tebing sungai.
- Risikan mengesan bot pancung mencurigakan bergerak ulang-alik dari Tak Bai, Thailand ke Tumpat pada waktu gelap.
- Suspek melarikan diri; tiada tangkapan atau bot berjaya dibuat walaupun cubaan pemintasan.
- Kesemua rokok disita di bawah Akta Kastam 1967 dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, rampasan dilakukan pada pukul 2.13 pagi selepas pihaknya menemui longgokan kotak rokok yang dibungkus menggunakan plastik lutsinar di tebing sungai kawasan berkenaan.
Menurut beliau, sebelum penemuan itu, pihaknya menjalankan risikan dan mengesan pergerakan sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan yang berulang-alik dalam gelap dari Tak Bai, Thailand menghala ke Tumpat.
Bagaimanapun, sebaik sahaja menyedari kehadiran aset penguat kuasa, bot berkenaan berpatah balik menuju semula ke Tak Bai dan gagal dipintas sebelum berjaya meloloskan diri memasuki perairan Thailand.
“Tiada tangkapan individu atau bot berjaya dibuat dalam operasi berkenaan kerana suspek dipercayai telah melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Hasil pemeriksaan di lokasi membawa kepada penemuan kira-kira 94 peti rokok putih yang mengandungi lebih kurang 940,000 batang, dengan nilai anggaran sekitar RM640,000,” katanya.
Beliau berkata, kesemua rokok seludup berkenaan disita mengikut Akta Kastam 1967 sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
Tambah beliau, kejayaan operasi tersebut membuktikan tahap kesiapsiagaan aset serta kecekapan anggota Maritim Malaysia dalam bertindak pantas berasaskan maklumat risikan.
“Maritim Malaysia akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya.