
KLANG, 8 April – Sebanyak 210,827 kilogram sisa elektronik (e-waste) dan bahan buangan terjadual berjaya ditahan dalam operasi bersepadu Op Green Shield 20 yang dilaksanakan di Pelabuhan Klang, hari ini.
- Op Green Shield 20 diketuai JTF E-waste dan AKPS Pelabuhan Klang, melibatkan Kastam, JAS, SIRIM dan LPK.
- Pemeriksaan beberapa kontena menemui sisa elektronik kategori SW110, bahan terjadual SW103 serta kontena plastik dan logam untuk tindakan lanjut.
- Dua syarikat disyaki membuat pengisytiharan palsu pada borang Kastam K1; kes diserahkan kepada Jabatan Kastam untuk siasatan.
Operasi tersebut digerakkan oleh Joint Task Force (JTF) E-waste Pelabuhan Klang yang diketuai Timbalan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang, Wan Fazli Wan Hamat, dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Alam Sekitar (JAS), SIRIM dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).
Seramai 18 anggota terlibat dalam pemeriksaan yang bermula seawal 9.30 pagi hingga 1.00 tengah hari, melibatkan beberapa kontena dagangan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan serta mengesan sebarang kemasukan bahan terlarang.
Hasil pemeriksaan mendapati, daripada 16 kontena yang diperiksa, sembilan daripadanya mengandungi sisa elektronik kategori SW110 dengan berat keseluruhan 184,627 kilogram.
Selain itu, sebuah kontena lagi dikesan membawa bahan buangan terjadual kategori SW103 seberat 26,200 kilogram.
Lima kontena lain yang mengandungi plastik dan sisa logam pula telah diserahkan kepada pihak SIRIM untuk tindakan lanjut.
Dalam operasi sama, pihak berkuasa turut mengesan dua syarikat yang membuat pengisytiharan palsu pada borang Kastam K1 berkaitan barangan dagangan tersebut.
Susulan itu, tindakan penguatkuasaan telah diambil dan kes diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut.
Wan Fazli dalam kenyataan berkata, pihaknya akan terus mempergiat pemantauan dan pemeriksaan terhadap kontena dagangan yang disyaki membawa sisa elektronik terlarang.
“Pemeriksaan ini selaras dengan pelaksanaan larangan mutlak import e-waste yang berkuat kuasa mulai 1 April melalui pewartaan Perintah Kastam (Pindaan) (No. 3) 2026.
“AKPS akan terus memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan kedaulatan sempadan serta kepentingan negara sentiasa terpelihara,” katanya.