Lebih 2,000 notis kesalahan dikeluarkan JPJ Johor menerusi Op Khas

FOTO RTM

MUAR, 5 Februari – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor mengeluarkan sebanyak 2,136 notis atas pelbagai kesalahan hasil Op Khas yang dijalankan sejak 1 Januari hingga semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kesalahan teknikal tertinggi termasuk nombor pendaftaran tidak patuh spesifikasi dan kegagalan memakai tali pinggang keledar.
  • Cukai jalan tamat tempoh serta ketiadaan lesen vokasional GDL dan lesen kompeten CDL turut banyak dikesan.
  • 1,305 kenderaan diambil tindakan dan 33 disita, melibatkan kenderaan barang, bas pekerja dan bas sekolah.
  • Operasi melibatkan 60 anggota JPJ bersama PDRM dan AADK dijalankan di Muar sebagai Op Gempur Kenderaan Perdagangan.

Kesalahan itu dikesan hasil pemeriksaan terhadap 12,510 kenderaan perdagangan sepanjang tempoh berkenaan.

Pengarah JPJ Johor, Zulkarnain Yasin berkata, antara kesalahan paling banyak direkodkan adalah kesalahan teknikal termasuk nombor pendaftaran kenderaan tidak mematuhi spesifikasi serta kegagalan memakai tali pinggang keledar.

Menurutnya, kesalahan lain yang turut dikesan melibatkan cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen memandu vokasional (GDL) serta lesen kompeten (CDL).

“Sebanyak 1,305 kenderaan diambil tindakan manakala 33 kenderaan disita, terdiri daripada 20 kenderaan barangan melebihi 7,500 kilogram, empat kenderaan barangan di bawah 7,500 kilogram, tujuh bas pekerja dan dua bas sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Op Gempur Kenderaan Perdagangan yang dijalankan di Muar, malam tadi.

Operasi berkenaan melibatkan seramai 60 anggota dan pegawai JPJ dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).