
KOTA BHARU, 9 Mac -Polis sudah merakam keterangan lebih 10 individu setakat ini, berkait seorang doktor pelatih wanita meninggal dunia di asrama Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai, pada 6 Mac.
- Siasatan giat dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian doktor pelatih wanita.
- Polis mengambil keterangan daripada ahli keluarga, rakan dan pensyarah; rakaman percakapan sedang diteliti.
- Kes diserah kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan untuk siasatan lebih terperinci.
- Hasil keterangan mencadangkan pelbagai punca termasuk tekanan; mangsa berusia 29 tahun menjalani latihan praktikal.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, keterangan itu diambil bermula dari hari kejadian sehingga kini.
Katanya, siasatan termasuk berhubung punca kematian doktor pelatih berusia 29 tahun itu sedang giat dijalankan.
“Kami telah mengambil rakaman keterangan daripada ahli keluarga, rakan-rakan serta pensyarah mangsa. Setakat ini, siasatan masih dijalankan termasuk meneliti rakaman percakapan yang diperoleh.
“Kes ini juga telah diambil alih oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) bagi membolehkan siasatan lebih terperinci dijalankan, sekali gus mengenal pasti punca kematian mangsa,” katanya dalam sidang media pada Program Penyampaian Bakul Ramadan Persatuan Kebajikan An’Nisa Rahmah, di sini.
Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan zakat dan barangan keperluan dapur sempena bulan Ramadan kepada 49 orang asnaf dan ibu tunggal.
Mengulas lanjut katanya, hasil keterangan yang diambil, pihaknya memperoleh pelbagai punca termasuk akibat tekanan, namun siasatan lanjut masih dijalankan dan siasatan diambil oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
Katanya, mangsa masih belajar dan menjalani latihan praktikal di hospital berkenaan.
Terdahulu media melaporkan, seorang doktor pelatih wanita berusia 29 tahun ditemui mati di sebuah bilik asrama Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai, Kelantan.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada pihak hospital kira-kira pukul 9.55 pagi Jumaat lalu.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di salah sebuah bilik asrama HSIP Kuala Krai dan mangsa ditemui dalam keadaan sudah tidak bernyawa.