Langgar lima kenderaan di KLIA, lelaki miliki 31 rekod jenayah berjaya ditahan

Gambar hiasan

SEPANG, 31 Mac – Seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun berjaya ditahan polis selepas melanggar lima kenderaan awam ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan pihak berkuasa di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anggota MPV cuba menahan sebuah kereta berwarna merah untuk pemeriksaan namun pemandu enggan berhenti dan melarikan diri.
  • Suspek memandu ke arah terminal Aras 3 sebelum melanggar kenderaan awam semasa cuba melarikan diri.
  • Suspek berjaya ditahan berhampiran lokasi kejadian oleh anggota polis.
  • Semakan mendapati suspek mempunyai 31 rekod jenayah lampau dan satu rekod kesalahan dadah; kes disiasat di bawah Seksyen 186/427 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Merbahaya.

Ketua Polis Daerah IPD KLIA, ACP Ravi Munusamy berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 petang ketika anggota kereta peronda polis (MPV) menjalankan rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan berkenaan.

Menurut beliau, anggota polis cuba menahan sebuah keerta berwarna merah untuk tujuan pemeriksaan, namun pemandunya enggan berhenti dan bertindak melarikan diri.

“Suspek memandu ke arah laluan Terminal Aras 3 KLIA sebelum melanggar lima kenderaan awam yang berada di laluan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, suspek bagaimanapun berjaya ditahan berhampiran lokasi kejadian.

Hasil semakan mendapati lelaki itu mempunyai 31 rekod jenayah lampau serta satu rekod kesalahan dadah yang kini masih dikehendaki pihak berkuasa.

Kes disiasat bawah Seksyen 186/427 Kanun Keseksaan, Seksyen 15 (1) Akta Dadah Merbahaya serta kesalahan trafik.

Suspek dibawa ke Mahkamah Sepang hari ini bagi tujuan permohonan tahanan reman.