KPDN Terengganu serbu stor haram LPG di Bukit Tunggal

FOTO KPDN Terengganu

KUALA NERUS, 23 Februari – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Terengganu menumpaskan satu aktiviti penyimpanan haram gas petroleum cecair (LPG) dalam serbuan ke atas sebuah premis tanpa nama di Bukit Tunggal, kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serbuan KPDN Terengganu di premis tanpa nama di Bukit Tunggal berjaya menumpaskan penyimpanan haram LPG.
  • Pemilik premis lelaki lingkungan 60-an dipercayai tiada lesen dan mendapatkan bekalan daripada pemborong.
  • Premis disembunyikan dengan pagar, kunci dan jaring hitam; bantuan orang awam bantu buka untuk pemeriksaan.
  • Serbuan merampas 48 tong LPG bernilai anggaran RM4,847; kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pemilik premis, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 60-an dipercayai tidak memiliki lesen sah dan mendapatkan bekalan daripada pemborong sebelum menjual semula kepada penduduk sekitar.

Pengarah KPDN Negeri Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, hasil risikan awal mendapati premis berkenaan berada dalam keadaan berpagar dan berkunci serta dilitupi jaring hitam bagi mengaburi pandangan pihak berkuasa.

“Menerusi bantuan orang awam, pemilik premis berjaya dihubungi sebelum membuka premis tersebut untuk membolehkan pemeriksaan lanjut dijalankan.

“KPDN ingin memberikan amaran keras kepada semua pihak dan menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati menyeleweng barang kawalan bersubsidi,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 48 tong gas LPG pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM4,847 dan kesemuanya dirampas untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).