KPDN Sarawak sita hampir 6,000 liter diesel, RON95

Foto KPDN Sarawak

KUCHING, 27 Mac – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak menyita 5,600 liter diesel dan 300 liter RON95 yang disimpan tanpa kebenaran di dua lokasi berasingan di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anggaran nilai rampasan bagi barang kawalan adalah RM18,273.
  • Dua lokasi dipercayai dijadikan stor penyimpanan minyak diesel dan petrol tanpa kebenaran.
  • Operasi dijalankan secara bersepadu bersama Pasukan Gerakan Am Batu Kawa.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961; hukuman termasuk denda dan penjara untuk individu dan syarikat.

Pengarah KPDN Sarawak Mathew Dominic Barin dalam kenyataan memaklumkan, anggaran nilai rampasan bagi barang kawalan tersebut adalah RM18,273.

“Dua lokasi berkenaan dipercayai dijadikan stor penyimpanan barang kawalan berjadual, minyak diesel dan petrol.

“Operasi berkenaan dijalankan dalam satu operasi bersepadu bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batu Kawa,” menurut kenyataan itu.

Kes disiasat bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki atau mengawal barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak suatu
kesalahan telah dilakukan.

Sabit kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan berulang, individu boleh didenda sehingga RM3 juta atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi syarikat pula, denda boleh dikenakan sehingga RM2 juta, manakala bagi kesalahan berulang, denda boleh mencecah RM5 juta.