
TELUK INTAN, 31 Mac – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 450 kilogram minyak masak paket satu kilogram di sini, pada Isnin dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah lebih RM55,000.
- Operasi hasil risikan seminggu, premis kediaman disyaki dijadikan stor simpanan haram.
- Penyewa warga Bangladesh memaklumkan minyak itu untuk dijual semula kepada penduduk setempat dan penghuni rumah kongsi.
- KPDN menyita kenderaan dan dokumen; kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 2026 kerana ketiadaan permit.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail dalam kenyataan memaklumkan, operasi dilaksanakan hasil risikan dan pemantauan selama satu minggu di sebuah premis kediaman yang disyaki dijadikan stor simpanan haram.
“Ketika pemeriksaan, sejumlah 450 kilogram minyak masak paket satu kilogram pelbagai jenama ditemukan di premis tersebut.
“Seorang lelaki warga Bangladesh berusia 36 tahun yang merupakan penyewa premis memaklumkan minyak masak tersebut adalah untuk dijual semula kepada pelanggan di kawasan sekitar, termasuk penghuni-penghuni rumah kongsi di kawasan pembinaan,” menurut kenyataan itu.
Operasi sitaan dijalankan pegawai dan anggota penguatkuasa KPDN Perak, cawangan Teluk Intan menerusi Op Tiris bagi membanteras aktiviti penyelewengan di sekitar kawasan Hilir Perak dan Bagan Datuk.
Siasatan lanjut mendapati lelaki tersebut gagal mengemukakan sebarang permit, lesen atau kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk memiliki dan berurusan dengan barang kawalan minyak masak paket di premis berkenaan.
KPDN kemudian menyita 450 kilogram minyak masak paket 1 kilogram, sebuah kenderaan pacuan empat roda, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan dokumen berkaitan.
Kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual minyak masak paket tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan.
Siasatan juga akan dijalankan ke atas individu atau pembekal bagi kesalahan bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) (Minyak Masak) 2026 kerana disyaki menjual barang kawalan kepada warga asing.