
KOTA BHARU, 14 Mac – Penyelewengan petrol bersubsidi antara kesalahan utama dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan tahun ini dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM618,000.
- 269 kes pelbagai kesalahan direkodkan di Kelantan sepanjang tempoh tersebut.
- 46 tangkapan dan 75 kenderaan disita; kenderaan diubah suai untuk pengisian petrol bersubsidi secara berlebihan.
- Pemantauan diperhebatkan: rondaan harian, risikan, bilik gerakan Hari Raya, 140 pegawai penguat kuasa dan 84 pemantau harga.
Sepanjang tempoh itu, sebanyak 269 kes melibatkan pelbagai kesalahan di bawah perundangan kementerian direkodkan di negeri ini.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata daripada jumlah itu, 133 kes direkodkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai rampasan berjumlah RM126,000.
Beliau berkata, sepanjang tempoh sama pihaknya turut melakukan 46 tangkapan dan menyita 75 kenderaan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penyelewengan petrol bersubsidi.
“Hasil siasatan mendapati kebanyakan individu yang ditahan bergerak secara bersendirian menggunakan kenderaan yang diubah suai bagi menjalankan kegiatan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2026 di AEON Mall Kota Bharu, hari ini.
Menurutnya, kebanyakan kes dikesan di kawasan sempadan yang dikenal pasti sebagai “hotspot” hasil aduan orang ramai serta risikan pihak penguat kuasa.
“Biasanya suspek membesarkan tangki daripada tangki asal bagi membolehkan pengisian minyak dalam jumlah lebih banyak. Ada juga yang menambah tangki tambahan di dalam bonet atau di bawah kerusi belakang kenderaan,” katanya.
Beliau menegaskan tindakan akan diambil terhadap mana-mana pengusaha stesen minyak yang didapati bersubahat dengan membenarkan pengisian berulang ke atas kenderaan sama atau kenderaan yang jelas telah diubah suai.
Mengulas lanjut langkah kerajaan mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter, Aswadi berkata pihaknya akan terus memperkukuh pemantauan bagi memastikan subsidi bahan api itu tidak disalah guna, khususnya di kawasan sempadan.
Katanya, pemantauan dilakukan setiap hari termasuk sepanjang musim cuti dan sambutan Aidilfitri dengan pasukan ronda, risikan serta pemantauan digerakkan secara berterusan.
“Kita juga membuka bilik gerakan pada hari raya bagi membolehkan pengguna menyalurkan maklumat dan aduan, dengan pegawai bertugas setiap hari,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata hasil pemantauan pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2026 mendapati beberapa barangan kawalan dijual pada harga lebih rendah daripada harga maksimum yang ditetapkan, antaranya ikan tongkol dan bawang merah.
Menurutnya, seramai 140 pegawai penguat kuasa dibantu 84 pegawai pemantau harga digerakkan bagi menjalankan pemeriksaan harian di peringkat pemborong dan peruncit di seluruh negeri Kelantan.