
JOHOR BAHRU, 31 Mac – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menggagalkan cubaan menyeleweng 800 liter minyak diesel di stesen minyak di Lebuh Raya Pasir Gudang,Johor Bahru, semalam.
- Lori diubah suai dengan dua pam disambung dari tangki asal ke tangki IBC tambahan di ruang simpanan.
- Unit Ronda Penguatkuasa menahan dan memeriksa lori mencurigakan pada kira-kira 2.00 petang, membawa kepada penemuan bahan api.
- Pemandu gagal mengemukakan dokumen sah termasuk permit khas; kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo dalam kenyataan memaklumkan, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM20,716.
“Bahan api itu ditemukan selepas Unit Ronda Penguatkuasa (URP) menahan dan memeriksa sebuah lori mencurigakan pada kira-kira 2.00 petang.
“Pemeriksaan mendapati lori itu diubah suai dengan pemasangan dua pam disambung terus dari tangki asal kenderaan ke tangki tambahan jenis bekas pukal perantaraan (IBC) di ruang simpanan.
“Tangki IBC itu dipercayai mengandungi kira-kira 800 liter minyak diesel,” menurut kenyataan itu.
Hasil semakan mendapati, pemandu lori berusia 40-an gagal mengemukakan dokumen sah termasuk permit khas menyimpan atau tujuan pembelian minyak diesel.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.