Koperal PGA ditahan bantu siasatan kes tembak Komander AKPS

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah/ BERNAMA

SUNGAI PETANI, 12 Mac – Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkat Koperal yang bertugas di Bahagian Risikan di sempadan Bukit Kayu Hitam ditahan bagi membantu siasatan kes tembak Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasaruddin M Nasir pada 25 Februari lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penahanan dilakukan pada 6 Mac hasil maklumat risikan dan siasatan menyeluruh.
  • Siasatan awal mendapati suspek berada di kawasan kejadian empat hingga lima jam sebelum insiden.
  • Ujian saringan urine positif ketamin; suspek direman seminggu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, hasil maklumat risikan dan siasatan menyeluruh dari pelbagai sudut, pihaknya menahan anggota terbabit ketika sedang bertugas di sekitar kawasan sempadan pada 6 Mac lalu.

Siasatan awal mendapati, anggota berkenaan bersama seorang lagi individu yang ditahan sebelum ini didapati berada di sekitar kawasan kejadian antara empat hingga lima jam sebelum berlakunya insiden tembakan.

Anggota terbabit juga didapati mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan ahli kumpulan sindiket penyeludupan dikenali sebagai ‘Geng Pak Su’.

“Kami tidak akan berkompromi dengan sebarang maklumat yang diterima, sama ada melibatkan anggota polis, AKPS atau pihak lain. Seperti yang saya nyatakan, ini adalah satu kes yang sangat serius dan mengancam keselamatan serta menakutkan anggota penguat kuasa, terutamanya AKPS.

“Jadi kami akan menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya. Sekiranya hasil siasatan berpuas hati, kita akan bebaskan. Namun, jika terdapat penemuan lain, contohnya ujian urin positif, kami juga akan mengambil tindakan tanpa sebarang pengecualian”, katanya.

Katanya, hasil ujian saringan juga mendapati, anggota terbabit turut positif dadah jenis ketamin.

Siasatan lanjut dilakukan bagi mengenal pasti sama ada anggota terbabit terlibat dalam insiden tersebut.

Bercakap kepada pemberita pada sidang media di Ibupejabat Polis Daerah, IPD Kuala Muda di Sungai Petani, Datuk Adzli berkata, anggota berkenaan yang direman selama seminggu telah dibebaskan semalam dengan jaminan polis.

Dalam kejadian pukul 5.40 pagi 25 Februari (Rabu) itu, SAC Mohd Nasaruddin yang menaiki sebuah kenderaan ditembak dua individu bermotorsikal ketika dalam perjalanan untuk menunaikan solat subuh di sebuah masjid di Bukit Kayu Hitam.

Bagaimanapun, SAC Mohd Nasaruddin terselamat dalam kejadian tersebut apabila tembakan yang dilepaskan hanya mengenai kereta dinaiki beliau.

Susulan itu, polis melancarkan beberapa operasi dan berjaya menahan enam individu termasuk seorang wanita warga asing pada hari yang sama. Empat lagi individu ditahan beberapa hari kemudian bagi membantu siasatan.