
KUALA TERENGGANU, 19 Januari – Seorang bekas jurutera menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan cuba menggunakan wang palsu di sebuah kedai emas di sini bulan lepas.
- Bekas jurutera, Ahmad Faisal, menukar pengakuan kepada tidak bersalah atas tuduhan cuba guna wang palsu di kedai emas.
- Mahkamah menetapkan peguam bela serah dokumen pembelaan dalam tempoh sebulan, tarikh 22 Februari ditetapkan.
- Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM10,000, perlu lapor diri setiap awal bulan; kesalahan membawa hukuman penjara dan denda jika sabit.
Ahmad Faisal Mohd Shahrani, 34, menukar pengakuannya itu ketika kes disebut semula di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Sepatutnya prosiding hari ini ditetapkan untuk fakta kes dan jatuh hukum selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan itu pada 5 Januari lepas.
Mohd Zul Zakiqudin kemudiannya menetapkan tempoh sebulan kepada peguam bela tertuduh, Mohd Hisham Hassin untuk serahan dokumen pembelaan pada 22 Februari ini.
Tertuduh yang juga bapa kepada dua orang anak ini juga dibenarkan untuk di ikat jamin dengan jumlah RM10,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri pada setiap awal bulan di Balai Polis Chabang Tiga, dekat sini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa cuba menggunakan 359 keping wang kertas RM50 palsu sebagai wang tulen di Kedai Emas Lelong Maya, Chabang Tiga, pada pukul 3.10 petang pada 18 Disember tahun lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda. Manakala Seksyen 511 memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi satu setengah daripada tempoh maksimum kesalahan asal.