
MACHANG, 28 Februari– Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menolak kemungkinan insiden tembakan ke atas kenderaan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Bukit Kayu Hitam, baru-baru ini, berpunca daripada dendam atau tindak balas terhadap penguatkuasaan sempadan yang lebih ketat.
- Siasatan menyeluruh KDN sedang dijalankan mengambil kira semua kemungkinan termasuk kaitan penyeludupan.
- Insiden tembakan terhadap Komander AKPS di Bukit Kayu Hitam mungkin berpunca daripada dendam atau tindak balas terhadap penguatkuasaan.
- Kes belum diklasifikasikan sebagai jenayah terancang setakat ini.
- Sembilan individu ditahan untuk membantu siasatan, dua suspek akan direman.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata siasatan menyeluruh sedang dijalankan dengan mengambil kira semua kemungkinan, termasuk kaitan dengan kegiatan penyeludupan.
“Semua kebarangkalian akan kita teliti, sama ada berkaitan penyeludupan atau bentuk jenayah lain,” kata beliau selepas menghadiri Program Mekar dan Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Simpul Berlubang, Labok, Machang.
Setakat ini, kes berkenaan belum diklasifikasikan sebagai jenayah terancang.
Bagaimanapun, sembilan individu termasuk seorang wanita warga Thailand telah ditahan bagi membantu siasatan, dan dua daripada suspek akan direman.
Media sebelum ini melaporkan dalam kejadian yang berlaku Rabu lalu, Proton X70 yang dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, ditembak ketika dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat Subuh.
Dua lelaki bermotosikal dipercayai menghampiri kenderaan berkenaan sebelum melepaskan tembakan sebanyak dua das kira-kira pukul 5.40 pagi.