Kes kanak-kanak diberi minum cecair berbahaya bukan perbuatan sengaja – Polis

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar / Foto BERNAMA

KAJANG, 14 Februari – Kes kematian seorang kanak-kanak yang dipercayai terdedah kepada ubat methadone, didapati bukan perbuatan disengajakan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan awal mendapati tiada unsur niat atau perbuatan sengaja dalam kejadian pemberian cecair berbahaya kepada kanak-kanak.
  • Kes kini difokuskan pada unsur pengabaian dan kecuaian yang menyebabkan ubat bapanya terdedah kepada kanak-kanak.
  • Dua mangsa masih dirawat dalam pemantauan rapi, manakala ibu bapa dibebaskan dengan jaminan untuk uruskan kebajikan keluarga.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Datuk Kahar berkata siasatan awal mendapati tiada unsur dilakukan dengan sengaja atau niat.

Siasatan kini menjurus kepada unsur pengabaian yang dipercayai berpunca akibat kecuaian.

“Sebenarnya, ubat itu memang untuk kegunaan bapanya dan kemungkinan kecuaian berlaku, mungkin disebabkan mahu bertindak cepat atau faktor lain sehingga ubat itu berada dalam pegangan kanak-kanak,” katanya dalam sidang media selepas program tinjauan mesra Langkah Selamat Ketua Polis Selangor: Santuni Komuniti Kajang di MRT Stadium Kajang di sini.

Mengulas mengenai keadaan dua kanak-kanak yang sedang dirawat, beliau berkata kedua-duanya menunjukkan perkembangan positif, namun masih ditempatkan di bawah pemantauan dan rawatan rapi pegawai perubatan.

“Alhamdulillah, keadaan mereka semakin baik, tetapi doktor belum dapat menetapkan tarikh mereka dibenarkan keluar hospital,” katanya.

Beliau berkata ibu bapa kanak-kanak terbabit telah dibebaskan dengan jaminan polis bagi membolehkan mereka menguruskan kebajikan keluarga, khususnya berkaitan urusan anak yang meninggal dunia.

Rabu lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun meninggal dunia, manakala dua adiknya berusia sembilan dan lima tahun menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Tengku Permaisuri Norashikin selepas dipercayai diberi minum cecair berbahaya jenis methadone di sebuah rumah di Sungai Ramal, Kajang.

Susulan insiden berkenaan, ibu bapa kepada tiga kanak-kanak terbabit yang berusia 35 dan 44 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu, Shazeli memaklumkan seramai 3,100 anggota polis digerakkan bagi melaksanakan operasi pencegahan jenayah secara menyeluruh bersempena musim perayaan Tahun Baharu Cina.

“Kita akan mempertingkatkan kehadiran polis di kawasan perumahan bagi memastikan keselamatan harta benda penduduk sentiasa terpelihara.

“Orang ramai juga diseru menyalurkan maklumat jenayah, aduan atau maklumat balik kampung melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP), mengisi borang di balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah berdekatan,” katanya.