Kes cubaan jatuhkan kerajaan, Polis mula ambil keterangan

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail / BERNAMA

PUTRAJAYA, 5 Mac – Polis telah mengambil keterangan seorang individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan serta melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang individu telah memberi keterangan secara sukarela kepada polis berkaitan dakwaan cubaan jatuhkan kerajaan.
  • Beberapa lagi individu, dianggarkan tiga hingga empat, akan dipanggil untuk memberi keterangan lanjut.
  • Siasatan dijalankan teliti kerana melibatkan keselamatan negara dan perlu dielakkan menimbulkan keresahan awam.
  • Polis akan menilai kemungkinan penglibatan luar negara, walaupun fokus kini pada individu tempatan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, individu berkenaan hadir secara sukarela bagi memberikan kenyataan kepada pihak polis.

“Setakat ini, kita telah mengambil kenyataan seorang individu, dan beberapa lagi, antara tiga hingga empat orang, akan dipanggil untuk memberikan keterangan lanjut,” katanya ketika ditemui selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.

Tambah beliau, siasatan dijalankan secara teliti memandangkan perkara tersebut melibatkan aspek keselamatan negara.

“Isu ini perlu ditangani dengan penuh kesabaran supaya tidak menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat. Yang paling penting, keselamatan negara dan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Menurutnya, siasatan akan turut menilai kemungkinan penglibatan individu dari luar negara bergantung kepada perkembangan siasatan semasa.

Ditanya kemungkinan memanggil isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, beliau berkata perkara itu masih dalam penelitian, dan buat masa ini siasatan tertumpu kepada individu tempatan.

Beliau Turut menegaskan bahawa langkah diambil polis adalah untuk memastikan perkara itu diselesaikan dengan secara baik, tanpa menjejaskan kestabilan kerajaan atau isu keselamatan yang lain.

“Saya percaya rakyat memahami pendekatan ini. Kita mahu negara berada di landasan yang betul demi masa depan yang lebih progresif,” ujarnya.