Kematian pelatih PALAPES: Tiga jurulatih dituduh hari ini

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Februari– Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiga jurulatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor berhubung kes kematian seorang kadet Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga jurulatih PALAPES akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
  • Pertuduhan dibaca bersama Seksyen 34; hukuman sehingga 30 tahun penjara dan mungkin denda.
  • PDRM menerima semula kertas siasatan daripada AGC; kes asal disiasat di bawah Seksyen 302 sebelum ini.
  • Bedah siasat kedua dilakukan selepas kubur digali semula; keluarga menuntut siasatan lanjut terhadap kematian pelatih.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihak polis menerima semula kertas siasatan daripada Jabatan Peguam Negara Malaysia pada 24 Februari lalu berkaitan kematian kadet PALAPES UTM, Syamsul Haris Shamsudin.

Menurut beliau, kes berkenaan pada awalnya disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh.

Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara mengarahkan pertuduhan dikenakan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh.

“Ketiga-tiga jurulatih yang merupakan pegawai Angkatan Tentera Malaysia itu dijadualkan dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pada pukul 9.00 pagi di bawah Seksyen 304(a) dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun serta denda,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sehubungan itu, Datuk Seri Mohd Khalid menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan proses pertuduhan dan perbicaraan jenayah akan bermula dalam masa terdekat.

Menurutnya, langkah berkenaan penting bagi memastikan prinsip keadilan jenayah terus dihormati serta proses perundangan dapat berjalan dengan lancar.