Kegiatan ‘ulat teksi’, JPJ kutip denda lebih RM2 juta

Aktiviti ‘ulat teksi’ di KLIA mencemarkan imej negara/BERNAMA

SEPANG, 22 Januari – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ telah melakukan 573 tangkapan berkaitan kegiatan ‘ulat teksi’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2, dengan kutipan denda berjumlah lebih RM2 juta bagi tempoh 2023 hingga 2025.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pihaknya memandang serius kegiatan haram itu dan akan meneruskan Ops Ulat bagi membendung aktiviti menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram di pintu masuk negara.

“(Kegiatan) ‘Ulat’ ini menawarkan perkhidmatan kereta sewa kepada orang awam yang tiba di balai ketibaan dengan caj penghantaran tinggi antara RM80 hingga RM150 ke Kuala Lumpur dan sekitarnya, berbanding teksi biasa atau Limo antara RM65 hingga RM80 sahaja,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan/BERNAMA

Tambah beliau, JPJ akan mengenakan tindakan tegas terhadap individu yang menjalankan kegiatan ‘ulat’ termasuk lucut hak kenderaan terhadap pesalah kali kedua dan seterusnya.

“Kami telah berjaya mengambil tindakan (lucut hak) yang pertama pada tahun lepas. Mulai tahun ini, mana-mana kereta ditahan atas aktiviti mengulat untuk kali kedua dan seterusnya akan dikenakan tindakan pelucutan hak,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Kifli berkata, kegiatan kereta ‘ulat’ berleluasa di KLIA Terminal 1 dan 2 kerana dipercayai mampu menjana pendapatan lumayan antara RM500 hingga RM1,000 sehari.

“Berdasarkan siasatan, satu hari mereka boleh dapat antara RM500 hingga RM1,000, Jadi kalau katakan mereka buat aktiviti mengulat ni berterusan 20 hari dalam sebulan, mereka boleh menampung denda mahkamah,” katanya.

Beliau berkata JPJ memandang serius kegiatan bersifat pentingkan diri dengan mengaut keuntungan secara haram dan hari ini, pihakya telah menahan tiga warga tempatan kerana menjalankan aktiviti ‘ulat’ di KLIA Terminal 1.

“Aktiviti ini juga merupakan gejala negatif yang boleh merosakkan imej negara dan mendatangkan implikasi kepada ekonomi, terutama dalam sektor pelancongan dan pengangkutan awam,” katanya.

Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, yang memperuntukkan denda hingga RM50,000 atau dipenjarakan maksimum lima tahu atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kenderaan juga boleh disita dan dilucut hak di bawah Seksyen 227 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan