
AYER KEROH, 11 Februari – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan minuman keras dan bunga api bernilai RM1.64 juta menerusi tiga kes berasingan, Januari lalu.
- JKDM Melaka menumpaskan tiga sindiket penyeludupan minuman keras dan mercun bernilai RM1.64 juta.
- Rampasan dua kes minuman keras dianggarkan hampir RM600,000 dan lebih RM882,000, dipercayai untuk Tahun Baharu Cina.
- Serbuan gudang pada 19 Januari menyita 4,742 kg mercun dan bunga api, disiasat di bawah Akta Kastam dan Eksais.
Pengarah JKDM Melaka, Roslan Yusoff berkata, barangan tersebut dipercayai untuk dipasarkan sempena sambutan Tahun Baharu Cina minggu hadapan.
Menurut beliau, kes pertama dan kedua membabitkan rampasan minuman keras pelbagai jenama pada 14 dan 16 Januari lalu di Muar, Johor serta Puchong, Selangor.
“Rampasan minuman keras bagi dua kes berkenaan masing-masing dianggarkan bernilai hampir RM600,000 dan lebih RM882,000,” katanya dalam sidang media hari ini.
Bagi kes ketiga, Roslan berkata, pihaknya merampas 4,742 kilogram mercun dan bunga api pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM156,486 termasuk duti dan cukai.
“Pada 19 Januari 2026 kira-kira jam 1 petang, sepasukan anggota Kastam dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Melaka telah menyerbu sebuah gudang syarikat dan menyita 4,742 kilogram mercun serta bunga api pelbagai jenis yang dipercayai disimpan tanpa kebenaran,” katanya.
Menurut beliau, kes pertama dan kedua disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(c) Akta Eksais 1976, manakala kes ketiga disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Dalam perkembangan sama, Roslan memaklumkan sepanjang tahun 2025, JKDM Melaka merekodkan 131 kes penyeludupan dengan nilai rampasan melebihi RM30 juta.
Bagi tempoh Januari 2026 pula, sebanyak 11 kes direkodkan dengan nilai rampasan berjumlah lebih RM1.8 juta.