
GEORGE TOWN, 31 Januari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua kapal tangki yang disyaki melakukan kegiatan pemindahan minyak dari kapal ke kapal tanpa kebenaran, di kedudukan 24 batu nautika barat Muka Head, Teluk Bahang, Khamis lalu.
- Maritim Pulau Pinang menahan dua kapal tangki disyaki pindah minyak tanpa kebenaran di lokasi 24 batu nautika barat Muka Head.
- Pemeriksaan mendapati aktiviti pemindahan minyak mentah melibatkan 53 kru dari pelbagai negara.
- Nilai rampasan minyak mentah dianggarkan lebih RM512 juta; keseluruhan rampasan sekitar RM718 juta.
- Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952; dua kapten dan kapal diserahkan kepada penyiasat Maritim.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pihaknya menerima aduan berhubung dua kapal tangki yang berada dalam keadaan bersauh dan disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak kira-kira pukul 1.00 pagi.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal terbabit disyaki menjalankan kegiatan pemindahan minyak mentah, yang melibatkan seramai 53 orang kru.
“Kesemua kru terdiri daripada warga China, Myanmar, Iran, Pakistan dan India. Nilai rampasan minyak mentah dianggarkan berjumlah lebih RM512 juta.
“Manakala nilai keseluruhan rampasan bagi kedua-dua kapal tangki tersebut dianggarkan sebanyak RM718 juta,” katanya menerusi kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 491B (1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Laut, Jabatan Laut Malaysia serta Seksyen 491B (1)(k) ordinan sama kerana melakukan aktiviti kapal ke kapal tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
Dalam perkembangan sama, dua kapten kapal beserta kapal yang terlibat telah ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.