
KUBANG PASU, 17 Januari – Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran selepas menahan tiga warga tempatan termasuk remaja perempuan berusia 16 tahun yang disyaki sebagai ‘transporter’ dalam Op Taring Delta di Plaza Tol Jitra arah selatan Rabu lalu.
- PGA menahan tiga warga tempatan, termasuk remaja 16 tahun, disyaki sebagai transporter dalam Op Taring Delta di Plaza Tol Jitra.
- Suspek menggunakan kenderaan sewa MPV dan SUV membawa 16 PATI dipercayai warga Myanmar ke destinasi dengan upah tinggi.
- Operasi mendedahkan kegiatan dijalankan sejak lapan bulan; dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau, ujian air kencing negatif.
- Seorang lelaki warga Myanmar ditahan sebagai disyaki ketua sindiket; tahanan dikenakan reman bawah SOSMA dan Akta Imigresen.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh berkata, lelaki tempatan berusia 47 tahun itu membawa anak perempuannya bersama rakannya berusia 40-an untuk membawa pendatang asing tanpa izini (PATI) berkenaan ke destinasi ditetapkan dengan upah yang lumayan.
Tangkapan itu dilakukan pada kira-kira 4.00 pagi itu dilakukan Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu.
“Modus operandi yang digunakan oleh ketiga-tiga warga tempatan ini adalah bertindak sebagai transporter dengan menggunakan kenderaan yang disewa.
“Mereka dipercayai telah menjalankan kegiatan tersebut beberapa kali sejak lapan bulan lalu,” katanya dalam sidang media di IPD Kubang Pasu, semalam.
Ketika penahanan suspek menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV) dan mendapati, terdapat 16 orang PATI iaitu sembilan lelaki dan tujuh wanita berusia antara 16 hingga 35 tahun dipercayai warga Myanmar.
Hasil siasatan mendapati, dua suspek warga tempatan itu mempunyai dua rekod jenayah lampau namun ujian saringan awal air kencing terhadap ketiga-tiga mereka adalah negatif
Susulan tangkapan itu, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki warga Myanmar berusia 30-an yang disyaki berperanan ketua sindiket di Nibong Tebal, Seberang Perai Utara Selatan, Pulau Pinang pada hari berikutnya.
Kesemua suspek ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama 28 hari sehingga 11 Februari depan manakala warga asing direman 14 hari bawah Akta Imigresen 1959/63.