
PASIR MAS, 1 Februari – Corak jualan bahan api yang tidak seimbang di beberapa stesen minyak berhampiran sempadan Malaysia-Thailand mencetuskan kebimbangan kemungkinan berlakunya penyelewengan petrol dan diesel ke luar negara.
- Pola jualan bahan api tidak seimbang di stesen sempadan mencetuskan kebimbangan penyelewengan petrol dan diesel ke luar negara.
- Penempatan pegawai penguat kuasa statik menyebabkan penurunan jualan, menunjukkan kemungkinan aktiviti tidak normal.
- KPDN jalankan siasatan menyeluruh termasuk profil penduduk dan pergerakan kenderaan, tanpa hadkan bekalan setakat ini.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam berkata sebanyak sembilan stesen minyak dikenal pasti merekodkan jualan yang jauh lebih tinggi berbanding kawasan lain.
Beliau berkata angka itu bagaimanapun menunjukkan penurunan ketara selepas pegawai penguat kuasa ditempatkan secara statik, sekali gus memberikan petunjuk awal wujudnya aktiviti tidak normal dalam rantaian bekalan bahan api bersubsidi.
Pemantauan itu dilaksanakan di empat daerah bersempadan dengan Thailand, iaitu Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Jeli.
“Hasil penempatan pegawai statik KPDN di stesen-stesen berkenaan mendapati jualan petrol dan diesel menurun sebaik pemantauan dijalankan berbanding sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Rantau Panjang, di sini hari ini.
Azman berkata perubahan ketara pada jumlah jualan selepas pegawai ditempatkan memberi isyarat awal yang perlu diteliti dengan lebih mendalam.
Ketika ini, KPDN sedang menilai sama ada jualan berkenaan benar-benar mencerminkan keperluan penduduk setempat atau dipengaruhi faktor lain.
Beliau berkata siasatan lanjut turut melibatkan penelitian terhadap profil penduduk, aktiviti ekonomi setempat serta corak pergerakan kenderaan di kawasan sempadan bagi memastikan sebarang tindakan yang diambil berasaskan data dan penilaian menyeluruh.
Setakat ini, KPDN belum mempertimbangkan sebarang langkah mengehadkan bekalan petrol dan diesel di stesen minyak terlibat, sebaliknya memberikan tumpuan kepada pemantauan berterusan dan pengumpulan maklumat.
“Pendekatan berperingkat akan diambil bagi memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara berhemah tanpa menjejaskan keperluan sah pengguna tempatan,” katanya.