JSPT KL nafi edar surat minta sumbangan Aidilfitri

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa/RTM

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menafikan mengeluarkan surat jemputan Majlis Hari Raya Aidilfitri yang turut meminta sumbangan daripada orang awam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Surat palsu dikesan tersebar melalui aplikasi WhatsApp pada jam 5.50 petang.
  • Surat itu menggunakan kepala surat rasmi dan ditandatangani "Supt Jamil bin Abdul", nama tidak wujud dalam rekod.
  • Laporan polis dibuat; orang ramai dinasihatkan berwaspada dan mengesahkan permintaan sumbangan dengan JSPT Kuala Lumpur atau balai polis.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya mengesan penyebaran surat palsu itu menerusi aplikasi WhatsApp pada 5.50 petang semalam.

Menurutnya, surat berkenaan menggunakan kepala surat rasmi kononnya daripada Cawangan Trafik dan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur serta ditandatangani individu menggunakan nama “Supt Jamil bin Abdul”.

“Hasil semakan mendapati nama itu tidak wujud dalam mana-mana rekod pegawai di IPK Kuala Lumpur mahupun Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Tiada sebarang surat rasmi dikeluarkan bagi tujuan memohon sumbangan daripada mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penyebaran surat itu dipercayai cubaan penipuan untuk memperdaya orang awam selain boleh menjejaskan imej dan kredibiliti PDRM.

Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan sebarang permintaan sumbangan yang meragukan.

Sebarang pengesahan boleh dibuat terus dengan JSPT Kuala Lumpur atau mana-mana balai polis berhampiran.