JPJ Pulau pinang sita 7 bas sekolah haram, 4 kenderaan e-hailing tanpa permit

FOTO RTM

SEBERANG JAYA, 23 Februari – Sebanyak tujuh kenderaan yang beroperasi sebagai bas sekolah tanpa permit sah disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) Pulau Pinang menerusi Operasi Khas di sekitar Seberang Perai Selatan, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • JPJ Pulau Pinang menyita tujuh kenderaan yang beroperasi sebagai bas sekolah tanpa permit sah.
  • Kenderaan terbabit didapati melanggar Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan penyalahgunaan LKM.
  • Empat kenderaan e-hailing disita kerana beroperasi tanpa lesen dan permit sah di sekitar lapangan terbang.
  • JPJ akan meneruskan operasi penguatkuasaan untuk memastikan pematuhan undang-undang dan keselamatan pengguna jalan raya.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifly Ismail berkata, tindakan itu diambil susulan aduan orang awam berhubung peningkatan penggunaan kenderaan persendirian sebagai bas sekolah tanpa kelulusan sah.

Menurut beliau, kesalahan yang dikesan adalah di bawah Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan 1987 membabitkan penyalahgunaan Lesen Kenderaan Motor (LKM), iaitu kenderaan persendirian digunakan untuk membawa penumpang awam.

“Hasil operasi hari ini, sebanyak tujuh kenderaan telah diambil tindakan. Alasan yang diberikan pengusaha adalah terdapat permintaan daripada ibu bapa kerana didakwa lebih mudah memasuki kawasan perumahan menggunakan van berkenaan,” katanya dalam sidang media di sini.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan terbabit tidak mempunyai permit sah daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk beroperasi sebagai pengangkutan awam khususnya bagi membawa pelajar sekolah.

Sementara itu, dalam operasi berasingan menerusi Ops Khas Ulat dan e-hailing di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, JPJ Pulau Pinang turut menyita empat kenderaan yang dijadikan kenderaan e-hailing tanpa lesen dan permit sah.

Zulkifly menegaskan, pihaknya memandang serius kegiatan ulat kerana ia bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh menjejaskan imej negeri sebagai destinasi pelancongan selain mengundang risiko keselamatan kepada penumpang.

Beliau berkata, operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang serta keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin.