
KUALA TERENGGANU, 18 Mac – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu melaksanakan rondaan komprehensif, sempena Op Hari Raya Aidilfitri 2026.
- 20 kawasan berisiko dikenalpasti di zon tengah menjadi tumpuan operasi.
- Rondaan dilaksanakan 96 kali sehari dalam tempoh 16 jam memastikan trafik terkawal.
- Strategi penguatkuasaan melalui pembahagian koridor utara, selatan dan tengah dengan pemantauan berfokus di hotspot.
- Rondaan intensif tanpa sekatan jalan raya diperkukuh dengan dron dan tindakan tegas terhadap kenderaan perdagangan serta bas ekspres.
20 kawasan berisiko yang dikenal pasti di zon tengah, antara kawasan tumpuan operasi tersebut.
Rondaan dilaksanakan 96 kali sehari dalam tempoh 16 jam bagi memastikan keadaan trafik kekal terkawal.
Pengarah JPJ Terengganu, Mohd Zamri Samion berkata, tumpuan turut diberi kepada kelancaran trafik serta pemantauan pematuhan undang-undang jalan raya sepanjang tempoh perayaan.
“Strategi penguatkuasaan dilaksanakan melalui pembahagian kepada beberapa koridor utama yang meliputi zon utara, selatan dan tengah.
“Setiap kawasan dipantau secara berfokus khususnya di lokasi hotspot yang dikenal pasti,” katanya kepada RTM selepas menjadi tetamu konti Terengganu FM, di Kuala Terengganu.
Jelas beliau lagi, pendekatan rondaan intensif digunakan tanpa sekatan jalan raya, namun pemantauan diperkukuh menerusi penggunaan teknologi dron serta penugasan anggota di lokasi strategik.
“JPJ komited melaksanakan rondaan secara intensif dan kita akan wujudkan ‘Snapchat’ di point of duty kita. Kita akan bagi fokus yang sangat serius di kawasan-kawasan blackspot, kawasan kemalangan dan apa-apa kesalahan yang kritikal akan diambil tindakan. Kita tidak mengadakan sekatan jalan raya, tetapi memberi fokus kepada tugasan rondaan bagi memastikan pematuhan undang-undang,” katanya.
Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya bertoleransi serta mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan peningkatan risiko kemalangan.
Sepanjang operasi, pihak JPJ akan menumpukan sembilan kesalahan utama, antaranya kesalahan melanggar lampu isyarat dan penggunaan lorong kecemasan, yang dikenal pasti sebagai penyumbang utama kemalangan.
Pemantauan ketat juga dikenakan terhadap kenderaan perdagangan dan bas ekspres, dengan tindakan tegas termasuk pemberhentian operasi serta-merta jika didapati melanggar peraturan keselamatan.