
PETALING JAYA, 16 Mac- Sebanyak 13 kenderaan import disita Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menerusi beberapa siri serbuan Op Terma pada awal Januari lalu.
- Nilai keseluruhan kenderaan disita dianggarkan RM4.6 juta termasuk cukai import.
- Kenderaan disimpan melebihi tempoh 48 bulan, melanggar Seksyen 65(2) dan 65(5) Akta Kastam 1967.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d); dua pengarah dipanggil; jika sabit, pesalah berdepan denda besar atau penjara.
Pengarah JKDM WPKL, Wan Norizan Wan Daud berkata nilai keseluruhan kenderaan yang disita dianggarkan berjumlah RM4.6 juta termasuk cukai import.
Jelas beliau, kenderaan tersebut disimpan melebihi tempoh 48 bulan yang dibenarkan mengikut Seksyen 65(2) dan 65(5) Akta Kastam 1967.
“Nilai kenderaan yang disita dianggarkan berjumlah RM1.74 juta, manakala anggaran nilai dan cukai import terlibat sebanyak RM2.86 juta,” katanya pada sidang media di pejabat JKDM WPKL hari ini.
Beliau menambah bahawa JKDM telah memanggil dua pengarah syarikat terbabit untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 berhubung penyalahgunaan kemudahan pengecualian duti atau cukai yang dibenarkan.
Wan Norizan berkata pihaknya juga masih menjalankan usaha mengesan syarikat atau ejen pengimport yang terlibat.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali amaun duti kastam atau RM100,000, yang mana lebih besar, dan tidak melebihi 20 kali nilai barang atau RM500,000, yang mana lebih besar; atau dipenjarakan tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun; atau kedua-duanya sekali,” katanya lagi.