JKDM Johor sita lima kontena minuman keras, nilai rampasan RM14.9 juta

Foto Jabatan Penerangan Johor

JOHOR BAHRU, 23 Februari – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menyita lima buah kontena mengandungi 572,928 tin minuman keras dan sebuah lori dalam operasi di sebuah gudang di Kulai, Johor, 20 Januari lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • JKDM Johor merampas lima kontena berisi 572,928 tin minuman keras dalam operasi di sebuah gudang Kulai.
  • Minuman keras dipercayai diimport dari China dan disimpan untuk diedarkan di pasaran tempatan.
  • Nilai rampasan termasuk cukai dianggarkan RM14.9 juta dan kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Pengarah JKDM Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata minuman keras itu dipercayai dibawa masuk dari negara China dan disimpan di gudang berkenaan sebelum diedarkan bagi pasaran tempatan.

Beliau berkata nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai dianggarkan mencecah RM14.9 juta.

“Premis gudang dijadikan tempat penyimpanan barang larangan sebelum diedarkan kepada orang awam.

“Kesalahan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu menyimpan barang larangan jika sabit kesalahan denda 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 mengikut amaun yang lebih besar “, katanya dalam sidang media di sini.

Tambahnya, usaha mengesan pemilik premis giat dilakukan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.