JIM bongkar rangkaian “Sindiket Iqbal”, tujuh ditahan

Foto JIM

KUALA LUMPUR, 22 JANUARI Tujuh warga Bangladesh diberkas selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi JIM oleh ATIPSOM dan AMLA menahan tujuh suspek berkaitan penyeludupan migran.
  • Lima ditahan sebagai migran tanpa cap pengesahan masuk, dua lagi sebagai pengatur dan penghantar.
  • Kenderaan dipercayai untuk pengangkutan migran disita; semua dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
  • Kes dikaitkan dengan "Sindiket Iqbal" yang menyeludup migran melalui laluan darat dan jalan tikus.

Penangkapan dibuat hasil operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melalui Bahagian Pencegahan Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang dijalankan di sebuah unit pangsapuri servis di Taman Maluri di sini berjaya menahan lima lelaki berusia antara 27 hingga 44 tahun yang dipercayai merupakan migran yang diseludup.

Turut ditahan dua lagi lelaki berusia 56 tahun dan 28 tahun yang masing-masing disyaki berperanan sebagai pengatur atau penjaga rumah penampungan (safe house) serta penghantar (transporter) bagi rangkaian sindiket berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pasport milik migran berkenaan tidak mempunyai sebarang cap pengesahan masuk yang sah ke Malaysia.

“Sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi yang dipercayai digunakan untuk tujuan pengangkutan migran turut disita”, katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Kesemua tahanan telah dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670] serta Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155].

“Kami menggunakan pendekatan pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan golongan rentan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

“Operasi ini dijalankan hasil maklumat risikan berkaitan kegiatan penyeludupan migran melibatkan warganegara Bangladesh yang memasuki negara ini secara haram melalui laluan tidak sah (jalan tikus) di negeri Kelantan”, tambahnya.

Menurutnya lagi, hasil risikan mendapati migran yang diseludup berkait dengan “Sindiket Iqbal”, iaitu sindiket penyeludupan migran yang berjaya ditumpaskan oleh JIM baru-baru ini di Kelantan.

Modus operandi sindiket ini adalah melakukan aktiviti penyeludupan migran melalui laluan darat.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan