Jangan jadi ‘keldai akaun’, elak terpedaya tawaran sewa kad bank

Foto hiasan/RTM

KUALA LUMPUR, 12 April – Orang ramai diingatkan supaya tidak sesekali meminjamkan atau menyewakan kad bank kepada individu tidak dikenali bagi mengelak daripada menjadi mangsa “keldai akaun” atau terbabit dalam sindiket penipuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Meminjamkan atau menyewakan kad bank adalah aktiviti haram dan boleh menyebabkan pemilik akaun ditangkap serta dihadapkan ke mahkamah.
  • Sindiket menawarkan bayaran untuk menggunakan akaun sebagai laluan memindahkan wang hasil jenayah; ini sebenarnya sindiket akaun keldai.
  • Polis menahan seorang 'runner' dengan 30 keping kad bank di pusat beli-belah; penjenayah guna kad itu untuk mengeluarkan duit curi.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tindakan meminjamkan kad bank kepada pihak lain merupakan aktiviti haram yang boleh menyebabkan pemilik akaun ditangkap serta dihadapkan ke mahkamah.

Beliau mendedahkan bahawa sindiket berkenaan semakin licik dengan menawarkan bayaran tertentu sebagai balasan untuk menggunakan akaun bank individu sebagai saluran memindahkan wang hasil kegiatan jenayah.

“Ada satu sindiket, kita bagi pinjam bank card dia bagi kita RM500 tapi ini adalah satu sindiket akaun keldai.

“Apa yang berlaku, bila kita kasih pinjam penjenayah akan guna bank kita sebagai laluan untuk duit yang dicuri”, katanya.

Beliau turut berkongsi maklumat pihak polis mengenai penangkapan seorang lelaki di sebuah pusat beli-belah baru-baru ini yang ditemukan bersama 30 keping kad bank milik individu berbeza.

“Pihak polis memaklumkan kepada saya, seminggu setengah yang lalu ada seorang lelaki ditahan di The Curve.

“Dia ditahan dengan 30 kad bank. Rupa-rupanya dialah ‘runner’ yang mengeluarkan duit yang dicuri oleh scammer meminjamkan kad bank kita kepada orang yang tak dikenali terutama untuk dapat duit”, katanya demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya di Surau Ibadurrahman, PPR Kg. Limau, disini.