
KOTA KINABALU, 31 Mac – Seorang kanak-kanak perempuan yang sebelum ini tidak tersenarai sebagai saksi tampil memberi keterangan pada prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, di Mahkamah Koroner di sini hari ini.
- Saksi kanak-kanak ke-65 memberi cerita dan kronologi berbeza mengenai insiden 16 Julai tahun lalu.
- Saksi mendedahkan kejadian kepada ibunya beberapa bulan selepas insiden, lalu ibu menghubungi seorang guru sekolah.
- Saksi memberi keterangan terperinci kepada polis tahun ini; prosiding keterangan belum selesai dan disambung esok.
- Seorang saksi lain dipercayai individu terakhir bersama mangsa, melihatnya di koridor dan berbual sebelum kembali ke asrama.
Peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu mangsa berkata saksi kanak-kanak ke-65 itu, seorang pelajar senior di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, mengemukakan cerita dan kronologi baharu berhubung insiden yang menimpa remaja berkenaan pada 16 Julai tahun lepas.
“Pada tahun lepas, saksi kanak-kanak telah selesai memberi keterangan. Tahun ini, tiba-tiba muncul satu saksi dengan cerita baharu dan kronologi berbeza sama sekali.
“Saksi kanak-kanak ini juga menyebut beberapa pelajar lain serta menceritakan apa yang berlaku pada malam kejadian kepada ibunya secara umum, dua tiga bulan selepas insiden,” katanya kepada pemberita selepas prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Shahlan berkata saksi tampil memberi keterangan selepas mendedahkan cerita pada malam kejadian sebelum Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri di asrama kepada ibunya.
Menurut Shahlan, ibu saksi kemudian menghubungi seorang guru di sekolah berkenaan. Susulan itu, saksi memberi keterangan terperinci kepada polis tahun ini. Prosiding bagi keterangan saksi itu belum selesai dan akan disambung esok.
Sementara itu, peguam Joan Goh yang mewakili seorang kanak-kanak lain dalam kes buli melibatkan Zara Qairina, berkata saksi dipercayai individu terakhir bersama mangsa sebelum insiden malang itu.
Beliau berkata saksi mendedahkan bahawa dia ternampak Zara Qairina berjalan mundar-mandir berhampiran tandas asrama, menyapa mangsa dan berbual selama kira-kira 10 minit sebelum membawa remaja itu kembali ke asramanya.
“Dia melihat Zara masuk ke bilik asrama, menutup pintu, kemudian kembali ke biliknya di Blok B. Saksi kemudiannya berjalan ke Blok A untuk ke bilik rakannya sekitar pukul 1 hingga 2 pagi, tetapi setelah mendapati rakannya tidur, saksi menutup pintu dan ternampak Zara di koridor tingkat tiga,” katanya ketika berkongsi keterangan saksi.
Peguam itu berkata ibu saksi juga dijangka memberi keterangan pada pada prosiding esok.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya, kira-kira 4 pagi.
Pada 13 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis, manakala pada 8 Ogos 2025, AGC mengeluarkan perintah menggali semula kubur Allahyarham bagi membolehkan bedah siasat dijalankan. – BERNAMA