Ideologi keganasan : PDRM laksana siasatan menyeluruh

Dalam konteks ancaman keselamatan terutama berkaitan keganasan, siasatan terperinci melibatkan pelbagai sudut dilaksana/Foto RTM

PADANG SERAI, 7 Mac – Siasatan menyeluruh dilaksana PDRM bagi melengkapkan siasatan kes penahanan enam remaja termasuk tiga di bawah umur, yang disyaki terlibat dalam kegiatan berunsurkan ideologi kumpulan Daesh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan terperinci termasuk pengesanan hubungan luar negara dan pemprofilan sebelum keputusan lanjut.
  • Polis akan menghubungi pihak berkuasa negara berkenaan untuk pengesahan maklumat kes rentas sempadan.
  • Risikan Cawangan Khas serta pemantauan media sosial dedahkan kaedah baharu menyisip ideologi keganasan melalui permainan dalam talian.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan dalam konteks keganasan siasatan menyeluruh perlu dilaksana, walaupun ada pihak mendesak prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), tidak digunakan.

“Dalam konteks ancaman keselamatan terutama berkaitan keganasan, pihak polis tentunya melakukan siasatan terperinci melibatkan pelbagai sudut termasuk sekiranya mereka mempunyai hubungan dengan individu di luar negara.

“Jika kes melibatkan gerakan di negara jiran, polis perlu menghubungi pihak berkuasa negara berkenaan untuk mengesahkan maklumat dan melakukan pemprofilan. Proses berkenaan, tidak dilakukan dalam tempoh hanya dua atau tiga hari walaupun suspek berusia 17 atau 18 tahun,” katanya selepas menghadiri Program Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Kedah 2026, di sini.

Beliau turut memaklumkan, penahanan kesemua suspek, susulan risikan Cawangan Khas, selain pemantauan ke atas aktiviti-aktiviti di media sosial serta beberapa aplikasi dalam talian.

Hasil siasatan mendapati wujud kaedah-kaedah baharu bagi menyebarkan ideologi berorientasikan keganasan yang diselitkan melalui medium seperti permainan dalam talian.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, semalam memaklumkan, pihaknya melumpuhkan cubaan menghidupkan semula ideologi kumpulan pengganas Daesh dengan penahanan enam remaja termasuk tiga di bawah umur menerusi operasi khas baru-baru ini.