Geng samun menyamar polis tumpas, enam diberkas

Datuk Fadil Marsus, menunjukkan gambar berkaitan kes samun bersenjata dan penyamaran sebagai penjawat awam pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 April – Polis menahan enam individu disyaki terlibat dalam kes samun bersenjata dengan menyamar sebagai pegawai awam dan anggota polis dalam tiga kejadian berasingan di sekitar Kepong, awal bulan ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa termasuk seorang lelaki, seorang wanita warga China dan seorang wanita warga Indonesia.
  • Rampasan termasuk dua pistol, lima kenderaan, kira-kira Rp13,000, mata wang asing, lapan telefon bimbit dan dua pas keselamatan.
  • Suspek berusia antara 31 hingga 51 tahun; direman tujuh hari dan beberapa orang didapati positif dadah.
  • Seorang suspek bekas anggota polis ditahan kerja manakala dua lagi pengawal keselamatan dipercayai menyalahgunakan lesen.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima tiga laporan membabitkan mangsa terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang wanita warga Indonesia.

“Kejadian berlaku pada 5 April lalu dan siasatan mendapati suspek menggunakan senjata api dalam melakukan samun selain menyamar sebagai pegawai awam dan anggota polis.

“Susulan itu, polis menjalankan operasi dan berjaya menahan enam individu yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, kesemua suspek berusia antara 31 hingga 51 tahun dan ditahan dalam operasi yang turut membawa kepada rampasan pelbagai barangan.

Antaranya dua pucuk pistol, lima kenderaan, wang tunai kira-kira Rp13,000, pelbagai mata wang asing, lapan telefon bimbit serta dua pas keselamatan.

Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan, selain terdapat antara mereka yang didapati positif dadah.

Siasatan lanjut turut mendapati salah seorang suspek merupakan anggota polis yang telah ditahan kerja, manakala dua lagi bekerja sebagai pengawal keselamatan dan dipercayai menyalahgunakan lesen dimiliki untuk melakukan jenayah.

Kumpulan itu dipercayai menyasarkan individu tertentu yang dikenal pasti memiliki harta bernilai serta mempunyai hubungan atau kenalan dengan suspek.

Kes disiasat mengikut kesalahan samun bersenjata dan polis tidak menolak kemungkinan wujud kaitan dengan kes lain memandangkan siasatan masih dijalankan.