
SHAH ALAM, 23 Februari – Enam lelaki tempatan ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung insiden rusuhan yang tular di sebuah taman perumahan di Bukit Sentosa dekat sini.
- Enam lelaki tempatan berumur 18 hingga 49 tahun ditahan bagi membantu siasatan rusuhan di Bukit Sentosa.
- Siasatan mendapati punca adalah perselisihan faham antara dua keluarga, bukan gangsterisme atau isu perkauman.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan; orang ramai dinasihatkan jangan ambil tindakan sendiri atau sebarkan spekulasi.
Kesemua suspek ditahan berumur antara 18 hingga 49 tahun.
Ketua Polis Selangor Datuk CP Datuk Shazeli Kahar berkata pihaknya mengesan satu rakaman video tular di media sosial Facebook pada kira-kira 4.30 petang memaparkan sekumpulan individu merusuh di kawasan berkenaan.
Beliau berkata susulan kejadian itu, polis menerima dua laporan berasingan berkaitan insiden sama.
“Siasatan awal mendapati motif kejadian berpunca daripada ketidakpuasan hati serta perselisihan faham yang melibatkan dua keluarga
“Insiden ini adalah berkaitan perselisihan faham peribadi dan tidak melibatkan sebarang unsur gangsterisme mahu pun isu perkauman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri yang menyalahi undang-undang serta tidak menyebarkan spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam.