
MUKAH, 16 Februari – Empat lelaki warga tempatan ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti sabung ayam dan judi dalam satu operasi di kawasan kebun di Pelugau, Selangau, petang semalam.
- Empat lelaki ditahan dipercayai terlibat sabung ayam dan judi di kawasan kebun Pelugau, Selangau.
- Polis merampas ayam hidup, peralatan judi serta wang tunai RM200 sebagai barang bukti.
- Kes disiasat di bawah Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Ketua Polis Daerah Mukah, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Muhamad Rizal Alias dalam kenyataan memaklumkan, operasi kira-kira pukul 3.30 petang itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah hasil maklumat awam.
“Ketika serbuan dijalankan, sekumpulan lelaki didapati sedang leka menjalankan aktiviti perjudian sabung ayam dan judi holo di sebuah tanah lapang.
“Suspek cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis, namun empat lelaki berusia antara 42 hingga 57 tahun berjaya ditahan,” menurut kenyataan itu.
Polis turut merampas beberapa barangan dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan, termasuk empat ekor ayam hidup, dua ekor ayam mati, satu unit alat penimbang, satu meja, lima kerusi plastik, sehelai kain holo, satu unit kong holo, tiga biji dadu, satu unit papan putih serta wang tunai berjumlah RM200.
Kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut. Ujian saringan air kencing mendapati semua suspek negatif dadah.
Kes disiasat bawah Seksyen 73(1)(g) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 serta Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.