Empat lelaki ditahan bantu siasatan kes roboh kuil di Rawang

Grafik RTM

SHAH ALAM, 11 Februari – Polis menahan empat lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kejadian merobohkan sebahagian sebuah kuil di kawasan Rawang, pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sebahagian kuil dirobohkan tanpa pemberitahuan kepada pihak berkuasa tempatan atau pengadu sebelum pembersihan dijalankan.
  • Empat lelaki tempatan ditahan dan sebuah traktor backhoe dirampas untuk membantu siasatan.
  • Siasatan dibuka di bawah Seksyen 427/295/504/447 Kanun Keseksaan; orang ramai diminta tidak membuat spekulasi.

Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 26 hingga 39 tahun dan turut dirampas sebuah traktor pertanian jenis backhoe yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya menerima satu laporan polis pada 11 Februari daripada seorang lelaki tempatan berhubung kejadian berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati sebahagian kuil telah dirobohkan tanpa ada perbincangan dan tanpa pemberitahuan kepada pihak berkuasa tempatan serta pengadu sebelum aktiviti pembersihan dijalankan.

“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 427/295/504/447 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan ketegangan kaum atau agama serta mengganggu ketenteraman awam.

“PDRM memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara profesional, telus dan adil berlandaskan lunas undang-undang,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Gombak Insp Eqhmal Hakimi Zainodin di talian 013-6117371 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222 bagi membantu siasatan.