Empat ‘keldai dadah’ ditahan, dadah bernilai RM5.42 juta dirampas

Bagasi dirampas pihak polis dalam beberapa siri operasi di KLIA.

KUALA LUMPUR, 13 April – Empat individu dipercayai keldai dadah ditahan dalam beberapa siri operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dengan rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai lebih RM5.42 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi dijalankan antara 30 Mac hingga 8 April, dengan kerjasama Polis Bantuan Malaysia Airports di KLIA.
  • Suspek berusia 19 hingga 37 tahun dipercayai keldai dadah, terlibat pengedaran ke pasaran tempatan dan antarabangsa.
  • Rampasan terbesar 45 kilogram ganja bernilai RM3.6 juta dipercayai untuk pasaran luar negara; selebihnya syabu untuk edaran tempatan.
  • Satu bagasi di KLIA ditemui mengandungi dadah, pemilik melarikan diri; polis kejar dan suspek direman di bawah Seksyen 39B.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Datuk Kahar berkata, kesemua tangkapan dibuat dalam operasi yang dijalankan antara 30 Mac hingga 8 April lalu, dengan kerjasama Polis Bantuan Malaysia Airports di KLIA.

Menurut beliau, suspek yang ditahan berusia antara 19 hingga 37 tahun dan dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah ke pasaran tempatan serta antarabangsa.

“Setakat ini, kita telah menahan seramai empat suspek dan kita percaya kesemua mereka berperanan sebagai keldai dadah. Ini merupakan antara ‘first job’ mereka yang dijanjikan ganjaran lumayan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Rampasan terbesar melibatkan 45 kilogram ganja bernilai RM3.6 juta yang dipercayai untuk pasaran luar negara, manakala selebihnya adalah rampasan syabu bagi edaran tempatan.

Dalam satu lagi kes berasingan, polis turut mengesan satu bagasi berisi dadah di KLIA tanpa tangkapan selepas pemiliknya melarikan diri dan kini sedang diburu pihak berkuasa.

Kesemua suspek yang ditahan kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Polis turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek yang masih bebas agar tampil membantu siasatan.