
JOHOR BAHRU, 4 Februari – Polis menahan empat individu tempatan disyaki terlibat dalam kegiatan khianat dengan api di sekitar daerah Johor Bahru Utara, Kulai dan Iskandar Puteri dalam beberapa operasi yang dijalankan antara 22 hingga 25 Januari 2026.
- Empat individu tempatan ditahan disyaki terlibat dalam enam kes khianat dengan api dan simbah cat di tiga daerah Johor.
- Suspek diperoleh melalui tawaran kerja di Facebook dengan upah RM400–RM800; pelbagai alat dan kenderaan dirampas sebagai bahan bukti.
- Tiga akan didakwa, seorang dijadikan saksi; kes disiasat di bawah Seksyen 435 dan 427 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, tangkapan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara dan Iskandar Puteri dengan bantuan anggota dari Balai Polis Nusa Bestari serta Balai Polis Skudai.
“Kesemua suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 18 hingga 34 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, siasatan mendapati kesemua suspek menerima tawaran kerja melalui aplikasi Facebook dengan bayaran upah antara RM400 hingga RM800 bagi setiap kejadian.
“Pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk melaksanakan kegiatan jenayah turut dirampas, termasuk sebuah kenderaan berserta anak kunci, empat telefon bimbit, pemetik api, pita pelekat, pen marker, pelitup muka, sarung tangan, pakaian, kasut, topi keledar, jaket hitam serta kertas bertulis nota ugutan,” katanya.
Beliau berkata siasatan lanjut mendapati kesemua suspek terlibat dalam enam kes khianat dengan api dan simbah cat di sekitar daerah Iskandar Puteri, Johor Bahru Utara dan Kulai.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 435 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan, dan kesemua suspek telah direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan,” jelasnya.
Menurut Datuk Ab Rahaman, pada Selasa, enam kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor dan hasil penelitian bersetuju untuk menuduh tiga suspek, manakala seorang lagi dijadikan saksi pendakwaan.
“Sebanyak lima pertuduhan akan dijalankan pada 4 Februari 2026 di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Johor Bahru serta Kulai, manakala satu lagi pertuduhan akan dijalankan selepas prosiding di Mahkamah Majistret Kulai selesai,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen Polis Johor dalam mengekang kegiatan jenayah sindiket ah long.
“Bagi tempoh 2020 hingga 2025, sebanyak 76 kumpulan terlibat dalam kegiatan khianat di seluruh Kontinjen Johor berjaya ditumpaskan dan 188 ahli kumpulan telah dituduh di mahkamah,” katanya.
Beliau turut memberi amaran keras kepada orang awam agar tidak terpengaruh dengan tawaran kerja melalui media sosial yang menjanjikan pulangan mudah.
“Modus operandi ini sering digunakan oleh sindiket ah long untuk merekrut individu melakukan aktiviti jenayah. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat atau bersubahat dan segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis,” katanya.
Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui Hotline Polis Johor di talian 019-279 2095 atau Bilik Gerakan Kontinjen Johor di talian 07-221 2999.