Empat disyaki ahli sindiket along simbah cat ditahan di Miri

FOTO IPD MIRI

MIRI, 17 Februari – Polis menahan empat lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau along yang menggunakan taktik simbah cat ke atas premis mangsa bagi menuntut bayaran hutang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Empat lelaki tempatan ditahan disyaki anggota sindiket along yang menggunakan taktik simbah cat untuk menuntut hutang.
  • Suspek berumur 24 hingga 27 tahun mempunyai rekod jenayah lalu dan kini direman untuk siasatan lanjut.
  • Polis merampas barangan berkaitan dan menyiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.
  • Pihak berkuasa mengesan dalang utama, menasihatkan orang ramai elak pinjaman dalam talian berisiko dan salur maklumat kepada polis.

Ketua Polis Daerah Miri, Penolong Pesuruhjaya Polis ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata kesemua suspek berumur antara 24 hingga 27 tahun diberkas hasil risikan dan siasatan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Miri.

Menurut beliau, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

“Hasil semakan rekod lampau mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah terdahulu dan kini direman bagi membantu siasatan lanjut. Dengan tangkapan ini, polis berjaya menyelesaikan tiga kes simbah cat yang dilaporkan di daerah ini sepanjang tahun 2026,” katanya dalam satu kenyataan.

ACP Mohd Farhan Lee berkata, pihaknya kini sedang giat mengesan dalang utama serta saki-baki suspek lain yang dipercayai terlibat bagi melumpuhkan keseluruhan rangkaian kegiatan berkenaan.

Siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan penglibatan sindiket terbabit dalam kes lain di sekitar Miri dan kawasan berhampiran.

Dalam pada itu, PDRM memandang serius kegiatan sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen yang menggunakan ugutan serta perbuatan khianat sebagai kaedah menuntut bayaran hutang.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan tawaran pinjaman wang secara dalam talian yang menjanjikan kelulusan mudah kerana ia boleh mengundang pelbagai risiko serta implikasi jenayah.

Masyarakat yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis menerusi talian 085-433400 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu usaha membanteras jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.