
AYER KEROH, 22 Januari – Seorang lelaki warga Myanmar yang bertindak sebagai ejen sindiket pemalsuan dokumen warga asing dijatuhi hukuman penjara 13 tahun tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret Melaka.
- San Lwin, 53, ejen sindiket pemalsuan dokumen warga asing, dihukum penjara 13 tahun tujuh bulan selepas mengaku bersalah atas 17 pertuduhan.
- Pelanggan pasangan warga Myanmar, Zaw Naing dan Khin Saw Wai, dihukum 14 bulan penjara setiap seorang kerana memiliki pasport dan dokumen palsu.
- Kesalahan melibatkan pemilikan dan penggunaan pasport palsu serta kad UNHCR palsu, dilakukan di sebuah apartmen di Melaka pada 8 November lalu.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap San Lwin, 53 tahun, selepas tertuduh mengaku bersalah atas 17 pertuduhan memiliki pasport dan dokumen palsu, termasuk penggunaan kad palsu Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), tahun lalu.
Tertuduh berdepan lapan pertuduhan di bawah Seksyen 474 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 466 kerana memiliki dokumen palsu, termasuk Pas Lawatan Ikatan Relatif (I-Kad) yang memaparkan nombor pasport berbeza.
Tertuduh turut didakwa atas kesalahan memiliki pasport milik orang lain, pasport palsu serta menggunakan kad UNHCR palsu, yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) dan Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport 1966 serta Seksyen 471 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 465.
Dalam prosiding sama, pasangan suami isteri warga Myanmar, Zaw Naing dan Khin Saw Wai, yang merupakan pelanggan tertuduh, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 14 bulan kerana memiliki pasport dan dokumen palsu.
Seorang lagi tertuduh, Muhammad Nur Hairul Boshar, yang mengaku bersalah menggunakan kad UNHCR palsu, dikenakan denda RM5,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Pangsapuri Mawar 2, Taman Malim Jaya, Melaka, kira-kira pukul 12 tengah hari pada 8 November tahun lalu.
Mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap