Dua warga Myanmar didakwa bunuh rakan senegara, prosiding tangguh

FOTO RTM

GEORGE TOWN, 1 April – Dua lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh rakan senegara mereka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Prosiding ditangguhkan kerana kedua tertuduh tidak memahami bahasa Melayu.
  • Timbalan Pendakwa Raya memohon perkhidmatan jurubahasa Myanmar bagi prosiding seterusnya.
  • Mahkamah menetapkan 23 April sebagai tarikh sebutan semula kes.
  • Forensik sahkan mangsa maut akibat kecederaan kepala dipercayai dipukul objek tumpul; kes disiasat di bawah Seksyen 302.

Bagaimanapun, pertuduhan terhadap Myat Thu Khaing dan Sein Win Aung tidak dapat diteruskan kerana kedua-dua tertuduh tidak memahami bahasa Melayu.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli memohon agar perkhidmatan jurubahasa Myanmar disediakan bagi prosiding seterusnya.

Majistret Tunku Intan Nadiah Tunku Mohammed Nazarin menetapkan 23 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam kejadian pada 9 Mac lalu, polis menemukan mayat seorang lelaki di belakang sebuah pangsapuri di Gat Lebuh Macallum di sini.

Siasatan lanjut oleh Jabatan Forensik Perubatan Hospital Pulau Pinang mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan di kepala dipercayai dipukul menggunakan objek keras dan tumpul.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.